Pages

Labels

Saturday, November 10, 2012

Pertemuan indah - Sham Kamikaze.

 

  


JIKA golongan wanita bersubang, bergelang dan memakai rantai emas
  dihiasi intan berlian, Sham Kamikaze, 35, pun apa kurangnya.
  Perhiasannya penuh satu kotak. Di pentas pula bergaya dengan kemeja-T
  gambar tengkorak dan kehebatannya memetik gitar menjadi pujaan ramai
  gadis.


  Namun apabila hidayah tiba, Sham atau nama penuhnya Shamril Mohamed
  Salleh dengan rela hati sanggup meninggalkan semua itu. Segala-galanya
  datang tanpa dirancang.


  Hampir dua bulan lalu, Sham mengajak rakannya memandu hala ke utara
  tanah air sambil berazam untuk berhenti solat setiap waktu di masjid
  yang mereka temui.


  Dalam perjalanan itu ketika bersolat di Masjid Alwi, Kangar, Perlis, dia
  terserempak dengan Imam Satu, Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As
  Sudais dan bersalam dengannya.


  Sedangkan mereka yang mengerjakan umrah atau haji di Makkah pun susah
  hendak bertemunya, apatah lagi untuk berjabat tangannya.


  Sesungguhnya pertemuan yang tidak disangka itu meniupkan angin perubahan
  pada dirinya, langsung Sham meninggalkan segala perkara yang menjadi
  kebanggaannya di dunia selama ini.


  Dengan wajah berseri dan perkataan syukur tidak lekang di bibir, Sham
  menceritakan segala yang dirasainya kini kepada wartawan


  ZAMAN jahil saya dulu, hendak solat pun terasa berat kaki tangan. Kalau
  'buat' pun mesti lambat. Sudah dekat hampir masuk waktu Asar, baru saya
  solat Zuhur dan sebaik habis, berkumandang pula azan Asar.



  Dalam hati merungut, 'alamak, baru solat Zuhur, dah nak solat Asar
  pula?' Kadangkala bila dengar azan pun masih buat tak tahu. Rasa macam
  tak ada makna apa-apa.


  Namun sejak mendapat hidayah Allah SWT, rasa tak sabar menunggu azan.
  Saya bersiap awal ke masjid sebelum kedengaran azan. Terasa damainya
  hati apabila kita ikhlas beribadah kerana-Nya.


  Saya memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Ilahi kerana
  memberikan hidayah pada usia masih muda dan mendapat petunjuk dalam
  keadaan saya masih sihat dan senang.


  Kebanyakan yang kita dengar, ada yang baru sedar apabila dihimpit
  kesusahan. Daripada pengalaman saya, jika Allah SWT hendak memberi
  petunjuk, Dia tidak kira siapa, di mana dan berapa usianya.


  Kalau diingatkan zaman jahil dulu, apa yang saya tak buat. Orang muda
  yang ingin mencuba segala-galanya. Kalau bab berfesyen, usah ceritalah.
  Aksesori saya mengalahkan wanita, saya pakai anting-anting, gelang dan
  rantai.


  Bukan anting-anting biasa, tetapi anting-anting berlian yang harganya
  mencecah ribuan ringgit. Siap ada tempat khas untuk menyimpan semua
  perhiasan itu.


  Dalam bab berpakaian pula, terutama kalau buat show, kemeja-T bergambar
  tengkorak menjadi pilihan. Agaknya orang alim yang tengok saya pakai
  baju itu mengucap sakan dan berdoa semoga saya berubah.


  Bila solat Jumaat, saya tanggalkan anting-anting tetapi saya
  melakukannya bukan kerana Allah SWT tetapi kerana malu pada orang.
  Sekarang saya suruh isteri (Farazali Abdul Jabar, 29) beri perhiasan itu
  pada orang tanpa sedikit pun rasa rugi. Bukan tak tahu orang lelaki
  haram memakai barang kemas, tetapi waktu itu manalah saya kisah.


  Dengan perubahan ini, saya mahu menjalani kehidupan seharian dengan
  mencontohi cara hidup Rasulullah SAW. Sabda baginda: "Hidupkan aku dalam
  keadaan fakir dan matikan aku dalam keadaan fakir." Namun bukan pula
  kita tidak boleh mencari harta, namun harta diperoleh itu hendaklah
  digunakan pada jalan benar, seperti bersedekah.


  Saya sangat bersyukur kerana sejak menceburi bidang seni, rezeki saya
  tidak pernah putus. Tak perlu saya cari kerja, duduk di rumah saja
  menanti panggilan telefon. Saya sudah puas merasai nikmat dunia dan tiba
  masa saya hidup dalam keadaan sederhana.


  Bagaimanapun, sejak dulu saya tidak masalah untuk bersedekah kerana ia
  diajar emak ayah dan saya suka buat kerja kebajikan. Dalam banyak
  amalan, bersedekah adalah yang paling senang di mana kita senyum pada
  orang pun, sudah dikira sedekah. Hebatnya amalan bersedekah ini.


  Orang paling gembira bila saya berubah adalah isteri dan emak saya.
  Isteri saya kata: 'Syukur, Allah SWT sudah makbulkan doa saya'. Isteri
  saya dulu penyanyi latar dan dia dapat hidayah lebih awal. Setiap waktu
  dia mengingatkan saya untuk bersolat dan jawapan yang selalu saya bagi,
  'nantilah dulu'.


  Bayangkan betapa sukarnya seorang isteri untuk membimbing suaminya
  kerana dia ketua keluarga. Kalau cakap lebih-lebih nanti, takut suami
  naik angin.


  Hikmah lain, kawan saya bertambah ramai. Tak kira apapun bangsa kawan
  saya, mereka gembira dengan cara hidup saya sekarang.


  Kalau dulu di Facebook, ada lebih kurang 5,000 peminat, sekarang hampir
  12,000 orang. Ada yang kata, dia mula minat saya sejak saya berubah. Ada
  ramai orang baik di luar sana yang mahu mendalami dan mendekati Islam.


  Pun begitu, pada awal perubahan itu, dugaan paling hebat apabila hendak
  bangun solat Subuh. Terasa beratnya kelopak mata kerana saya selalu
  berjaga hingga jam dua tiga pagi. Sekarang, loceng jam belum berbunyi,
  saya dah terjaga.


  Mula-mula itu sakit kepala dibuatnya kerana tak cukup tidur, tetapi
  sekarang dah biasa. Hidayah itu tidak boleh dicari tetapi ia datang
  sendiri.


  Kini, apapun yang saya lakukan kerana Allah SWT. Saya mula bermain muzik
  pada 1993 dan sekarang saya lebih suka bekerja di belakang tabir. Tiada
  lagi terkinja-kinja di pentas. Melangkah saja ke persembahan pentas atau
  konsert, dosa sudah menunggu kerana melihat aurat wanita tidak bertudung
  dan berpakaian seksi.


  Dulu, kalau saya memandu di sekitar Jalan Bukit Bintang, mata meliar
  memerhatikan wanita pelbagai bangsa yang lalu-lalang. Berjalan dengan
  isteri, tangan kiri menggenggam erat tangannya tetapi mata masih
  menjeling gadis di seberang sana.


  Sekarang isteri saya senang hati melepaskan saya pergi ke manapun.
  Cukuplah, zaman itu sudah berlalu. Setiap orang pasti melakukan
  kesilapan dan moga Allah SWT mengampunkan dosa saya.


  Bagaimanapun, yang mana projek dipersetujui sebelum saya berubah, saya
  akan selesaikan. Malam tadi saya muncul di konsert mingguan Akademi
  Fantasia 9 sebagai juri kerana janji yang dibuat sudah lama.


  Saya masih bermain muzik, namun cukuplah di belakang tabir dan sedia
  bekerjasama dengan mana-mana kumpulan nasyid di negara ini. Jika mereka
  mengadakan persembahan bercorak Islamik, saya sudi bekerjasama.


  Saya memakai ketayap atau bersongkok serta berjubah, bukan untuk
  menunjuk-nunjuk pada orang tetapi sebagai peringatan buat diri sendiri.


  Mengingatkan ketayap di kepala sekali gus menghalang saya untuk
  melakukan perkara tidak baik. Jalan pun lebih banyak tunduk untuk
  menjaga pandangan. Melihatkan jubah putih tersarung di badan menyekat
  langkah saya kembali ke jalan lama.


  Saya betul-betul bertaubat dan mudah-mudahan Allah SWT tetapkan hati
  saya berada di jalan yang ditetapkan-Nya sehingga ke akhir hayat saya.


  Doa saya setiap hari: "Ya Allah, jangan kau bolak-balikkan hati ku
  selepas Engkau berikan hidayah." Untuk menambah ilmu agama yang masih
  cetek, saya pergi kuliah agama, mendengar ceramah, membaca buku, kitab,
  mendalami al-Quran dan memahami tafsirannya. Saya pun tidak mahu berubah
  secara ekstrem, biarlah perlahan-lahan.


  Ada yang panggil saya berceramah tetapi ilmu yang ada belum sampai ke
  tahap itu. Kalau hendak bercerita macam mana saya mendapat hidayah, itu
  boleh. Sabda Rasulullah SAW: "Manusia itu sentiasa dalam kerugian
  kecuali orang yang beriman." Menurut seorang ustaz, kalau kita mahu
  menambah ibadah, tengoklah ahli ibadah yang hebat. Namun dalam bab
  urusan dunia, tengoklah orang yang lebih teruk daripada kita supaya kita
  menjadi lebih baik daripadanya.


  Dalam dunia ini, perkara paling berat yang manusia hendak buat ialah
  beriman dengan qada dan qadar. Kita kena percaya, semua perkara terjadi
  atas izin-Nya.


  Waktu baru berubah, depan isteri dan seorang pelajar saya, tiba-tiba
  gitar kesayangan saya terjatuh. Mereka terdiam kerana takut saya naik
  hantu kerana dulu kalau barang kesayangan saya rosak atau hilang,
  siaplah, berasap satu badan.


  Namun kali ini dengan tenang saya mengangkat gitar tanpa rasa marah
  kerana saya anggap ia qada dan qadar daripada Allah SWT. Dah jatuh, saya
  hendak buat macam mana. Semua perkara terjadi atas kehendak-Nya.


  Kita sudah rasai semua nikmat dunia tetapi kita tak ingat Tuhan. Hidup
  saya sekarang sangat bermakna kerana dapat mendekati Allah SWT.


  Sebagai hamba-Nya yang serba kekurangan, kita mesti tamak mencari pahala
  Allah SWT, bukan mengutamakan harta dunia. Kalau Rasulullah SAW yang
  maksum itu bertaubat 70 kali sehari, siapalah kita hamba yang hina ini.


  Takut dan gerunlah dengan azab Allah, insya-Allah kita akan selamat.
  Selalu minta pada-Nya, hendaklah kita mati dalam Islam, dalam keadaan
  berwuduk dan dapat mengucap dua kalimah syahadah.


  Firman Allah SAW, "Dan kamu tidak mampu menempuh jalan itu kecuali
  dikehendaki Allah."

No comments:

Post a Comment