SHAH ALAM – Hakim Datuk Akhtar Tahir memberitahu
Mahkamah Tinggi bahawa bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya
mempunyai motif untuk membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan
tiga rakannya kerana tersepit isu penjualan tanah di Pulau Pinang.
Akhtar berkata, isu penjualan tanah itu melibatkan
Sosilawati dan bekas Adun Sementa, Datuk Abd Rahman Palil.
Bagaimanapun, tindakan Pathma mewakili kedua-dua
mereka adalah tidak beretika sehingga dia juga enggan membuat perjumpaan antara
keduanya.
“Motif itu diperoleh setelah mempertimbangkan
keterangan Pathma yang mempunyai sebab lain yang lebih kukuh dan bukan
disebabkan isu cek semata-mata.
“Akibat tertekan dengan Sosilawati dan Abd Rahman,
Pathma mengambil jalan mudah dengan menghabiskan salah seorang daripada mereka
dan ini berlaku kepada Sosilawati.
“Sementara tiga lagi rakan Sosilawati yang mengikuti jutawan tersebut ke Banting pada hari kejadian turut dibunuh,” katanya.
“Sementara tiga lagi rakan Sosilawati yang mengikuti jutawan tersebut ke Banting pada hari kejadian turut dibunuh,” katanya.
Akhtar berkata demikian dalam alasan penghakimannya
selepas menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Pathmanabhan, T
Thilaiyalagan; R Matan dan R Khatavarayan selepas didapati bersalah membunuh
Sosilawati dan tiga rakannya.
Dalam prosiding terdahulu, Akhtar berkata, keputusan itu
dibuat selepas mahkamah berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang
dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011.
Katanya, pembelaan di peringkat ini telah gagal
menyangkal kes pendakwaan kerana bukti dan keterangan sudah cukup mensabitkan
semua tertuduh bersalah membunuh semua mangsa dengan satu niat.
Menurutnya, walaupun tiada mayat ditemui, mahkamah
menerima pakai bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan, iaitu kesan darah dan
barang peribadi yang ditemui di kawasan Ladang Gadong, Banting.
“Justeru, mahkamah berpendapat penemuan kesemua barang
bukti tersebut menunjukkan kehadiran mereka di ladang pada hari kejadian,”
katanya.
Beliau berkata, mahkamah menerima pakai keterangan
anak kepada Sosilawati, Erni Dekritawati Buhari, yang mengesahkan bahawa ibunya
akan berjumpa dengan Pathma di Banting, untuk menyelesaikan dua keping cek.
“Mahkamah beranggapan tiada sebab untuk saksi ini
menipu. Begitu juga dengan isteri mangsa yang mengikut Sosilawati sebagai
penasihat.
“Selain itu rekod panggilan telefon yang dikemukakan
oleh saksi telekomunikasi menunjukkan Sosilawati dan rakannya berada di
Banting,” katanya.
Akhtar berkata, bagaimanapun, kesemua keterangan ini
tidak boleh dicabar oleh pembelaan.
Dalam pada itu, Akhtar berkata kehadiran semua mangsa
di Ladang Gadong turut disahkan oleh pembantu rumah warga Indonesia, Siti
Hamidah Karnax.
“Keterangan saksi itu ada melihat seorang perempuan
dan tiga lelaki Melayu pada petang 30 Ogos 2010 serta mendengar jeritan selain
melihat api besar di kawasan ladang.
“Mahkamah lebih percayakan kredibiliti saksi ini dan
dia memberi keterangan yang benar,” katanya.
Akhtar berkata, beliau percaya dengan keterangan
tertuduh keempat, Khatvarayan, yang mengesahkan Sosilawati dan tiga rakannya
datang ke ladang pada 30 Ogos 2010.
Bagaimanapun, jika merujuk kepada keterangan
Khatavarayan, Akhtar berkata, beliau menganggap tertuduh itu jelas sekali rakan
subahat, namun berpaling tadah kerana mungkin berselisih faham dengan tertuduh
pertama.
“Mahkamah berpendapat kebanyakan keterangan
Khatavarayan hanya direka secara berhati-hati untuk menunjukkan dia tidak
bersalah.
“Versi keterangan Khatavarayan adalah untuk selamatkan
dirinya, meskipun banyak percanggahan keterangan dengan tiga lagi tertuduh
lain,” katanya.
Katanya, pembelaan gagal menjelaskan berhubung
barangan peribadi mangsa selain tiada penjelasan mengenai penemuan darah dan
tulang manusia di ladang terbabit.
“Pembelaan juga mencabar bukti DNA, namun tiada sebab
untuk tolak bukti saksi pakar yang diterima sebelum ini kerana pembelaan gagal
berbuat demikian.
“Malah penemuan darah dan sisa tulang manusia di
ladang menimbulkan kemungkinan kejadian yang berlaku kepada kesemua mangsa yang
dibakar sehingga mati,” katanya.